Thursday, December 24, 2009

Aku Sangka..

Tika mata aku masih belum mampu melihat dunia..
Aku miliki sangkaan simpul mati tentang manusia agama..
Simpul mati itu terbit dari sangka baik aku pada mereka..

Aku sangka manusia agama itu hatinya menyejukkan jiwa..
Sesejuk mampu mendinginkan panasnya sahara..
Aku sangka manusia agama itu hatinya putih dan suci..
Sesuci dan seputih susu unta perahan nabi..
Aku sangka manusia agama itu sentiasa berkata benar..
Sebenar kata-kata manusia bertaraf dewa..
Aku sangka manusia agama itu penunjuk kebenaran..
Bukan penghalang ketulusan manusia ilmuan..

Namun kematangan dunia telah mengajarku banyak perkara..
Manusia agama itu juga manusia biasa..
Bezanya mungkin hanya pada nama..
Mungkin juga sudut taqwanya..

Apabila aku jujur melihat manusia berlabel agama..
Kadang kala aku merasa ada titik sama dengan manusia hina..
Manusia hina apabila bercakap mereka berdusta..
Apabila diberi amanah mereka melupainya..
Apabila memimpin dia gagal menunjukkan tauladan mulia..

Tidak dan jangan fikir sebegitu!
Aku tidak miliki kesimpulan itu..
Kesimpulan mengagalkan semua manusia agama..
Aku hanya mengagalkan kesimpulan hijau usiaku..

Kini, kesimpulanku terikat kemas..
Namun bukan ikatan mati seperti dahulu..
Manusia agama hanya manusia biasa..
Mulianya mereka terikat pada dua perkara..
Keikhlasan dan akhlaknya..

Mengapa bukan pada ilmunya?
Manusia hina juga ramai yang berilmu tinggi..
Namun mulutnya sentiasa menghina dan mencaci manusia lain..
Mengapa bukan pada pangkatnya?
Manusia hina ramai yang menduduki jawatan teratas dalam dunia..
Namun mereka tidak ikhlas bekerja lantaran mengejar habuan sementara..

Maafkan aku manusia agama..
Kerana aku hanya mampu bersangka..

oleh: ajim

BANGSAKU MERDEKA...

hari ini tiba lagi,
tarikh dan waktu tidak pernah berubah,
mereka menjadi saksi,
revolusi bangsaku merdeka,

kalau dulu rasa cinta cukup menebal,
pada pertiwi, apatah lagi pada illahi,
kini rasa cinta tetap menebal,
maaf, bukan untuk pertiwi,
bukan untuk ilahi,
tapi cinta duniawi penuh berahi,

hari ini tiba lagi,
detik igauan 12 tengah malam,
jarum jam menjadi saksi,
revolusi bangsaku merdeka,

kalau dulu gadisku manis bertudung litup,
bersopan santun berbudi pekerti,
kini, gadisku bertambah manis,
maaf, bukan kerana tudungnya,
bukan kerana sopannya,
tapi kerana seksinya yang menyeksa,

wahai bangsaku medeka,
apakah gunanya jika negara penuh kemajuan?,
apakah gunanya jika negara penuh kejayaan?,
apakah gunanya jika negara penuh kemasyuran?,
jika maruah bangsaku diperdagangkan,
jika maruah bangsaku dicemarkan,

nanti,
jika bangsaku merdeka merempat di bumi sendiri,
jangan ditangisi, jangan dimarahi,
kerana, bangsaku merdeka sendiri yang menjadi parasit,
menjahanamkan, memusnahkan, meleburkan,
impian bangsaku merdeka 1957..

-ajim-
(matrix johor 2006)