Thursday, December 24, 2009

Aku Sangka..

Tika mata aku masih belum mampu melihat dunia..
Aku miliki sangkaan simpul mati tentang manusia agama..
Simpul mati itu terbit dari sangka baik aku pada mereka..

Aku sangka manusia agama itu hatinya menyejukkan jiwa..
Sesejuk mampu mendinginkan panasnya sahara..
Aku sangka manusia agama itu hatinya putih dan suci..
Sesuci dan seputih susu unta perahan nabi..
Aku sangka manusia agama itu sentiasa berkata benar..
Sebenar kata-kata manusia bertaraf dewa..
Aku sangka manusia agama itu penunjuk kebenaran..
Bukan penghalang ketulusan manusia ilmuan..

Namun kematangan dunia telah mengajarku banyak perkara..
Manusia agama itu juga manusia biasa..
Bezanya mungkin hanya pada nama..
Mungkin juga sudut taqwanya..

Apabila aku jujur melihat manusia berlabel agama..
Kadang kala aku merasa ada titik sama dengan manusia hina..
Manusia hina apabila bercakap mereka berdusta..
Apabila diberi amanah mereka melupainya..
Apabila memimpin dia gagal menunjukkan tauladan mulia..

Tidak dan jangan fikir sebegitu!
Aku tidak miliki kesimpulan itu..
Kesimpulan mengagalkan semua manusia agama..
Aku hanya mengagalkan kesimpulan hijau usiaku..

Kini, kesimpulanku terikat kemas..
Namun bukan ikatan mati seperti dahulu..
Manusia agama hanya manusia biasa..
Mulianya mereka terikat pada dua perkara..
Keikhlasan dan akhlaknya..

Mengapa bukan pada ilmunya?
Manusia hina juga ramai yang berilmu tinggi..
Namun mulutnya sentiasa menghina dan mencaci manusia lain..
Mengapa bukan pada pangkatnya?
Manusia hina ramai yang menduduki jawatan teratas dalam dunia..
Namun mereka tidak ikhlas bekerja lantaran mengejar habuan sementara..

Maafkan aku manusia agama..
Kerana aku hanya mampu bersangka..

oleh: ajim

No comments:

Post a Comment